KOTA KINABALU: Seorang wanita tidak menyangka kereta yang terbabas berhampiran rumah di Jalan Kionsom, Inanam, di sini awal pagi tadi rupanya dipandu bekas suami sendiri.
Malah lebih menyedihkan lagi apabila mendapati, bekas suaminya yang berusia 50 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Aini, 50, berkata, pada awalnya, dia menyedari terdapat sebuah kereta terbabas di tepi jalan ketika keluar untuk mengambil anaknya.
Katanya, dia langsung tidak menyedari kenderaan berkenaan adalah milik bekas suaminya dan meneruskan perjalanan.
“Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang, saya menyedari kereta berkenaan adalah milik bekas suami dan terus turun untuk kepastian.
“Saya terkejut apabila melihat suami dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dimaklumkan bahawa dia sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui, di tempat kejadian.
Aina berkata, walaupun sudah berpisah sejak setahun lalu, namun dia tetap bersedih dengan kejadian yang menimpa bekas suaminya.

“Mungkin sudah takdir, kami sekeluarga menerima dengan hati yang reda,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada jam 11.39 malam.
Katanya, siasatan awal mendapati, kemalangan melibatkan kenderaan jenis Perodua Myvi itu dipercayai terbabas sendiri.
“Mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke parit di bahu kanan jalan dan akibat kemalangan itu, mangsa tersepit di bahagian pemandu.
“Mangsa dikeluarkan orang awam yang berada di lokasi kejadian sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS Likas) yang membantu di lokasi kejadian,” katanya.
Mohd Zaidi berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Info X