Search

Lelaki maut kereta terbabas, langgar lampu elektrik

October 30, 2024

Info X Reporters

LAHAD DATU: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandu terbabas lalu melanggar tiang elektrik dalam kemalangan di Kilometer 18, Jalan Lahad Datu – Tungku, di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, mangsa warga tempatan berusia 41 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu Superintenden Jimmy Panyau berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback dipercayai terbabas sendiri.

Katanya, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati, kenderaan yang dipandu mangsa terbabit dari arah Tungku menuju ke Lahad Datu.

“Sebaik tiba di lokasi, kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan sebelah kanan laluan bertentangan.

“Kenderaan mangsa turut melanggar tompokan batu yang ada di jalan berkenaan sebelum terlanggar tiang elektrik,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Keadaan kereta dipandu mangsa yang mengalami kerosakan teruk dalam kemalangan di Kilometer 18, Jalan Lahad Datu – Tungku.

Menurutnya, akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Lahad Datu menggunakan lori Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Sampel darah mangsa diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia Kota Kinabalu untuk ujian alkohol dan dadah. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, Jimmy berkata, mana-mana individu yang melihat kejadian ini supaya menghubungi pegawai penyiasat trafik Inspektor Muhammad Rasul Ramlee di talian 089-881255 atau terus ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Lahad Datu. – Info X