KENINGAU: Seorang lelaki maut selepas kereta dinaiki hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam anak sungai berhampiran Jalan Apin-Apin, malam tadi.
Mangsa Jupilin Anggor, 49, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Penolong Kanan Penguasa Bomba Sharudi Delamin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.33 malam.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota bersama jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi kejadian sejauh 21 kilometer dari balai.
“Kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Axia telah hilang kawalan sebelum terbabas sendiri ke dalam anak sungai.
“Terdapat seorang mangsa tersepit di dalam kereta dan pasukan Bomba yang tiba di lokasi bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas,” katanya.
Menurutnya, mangsa berjaya dikeluarkan itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mangsa seterusnya diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi keseluruhan ditamatkan jam10.24 malam selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi,” katanya. – Info X