Search

Lelaki maut kereta terbabas masuk lubang pembentungan

January 23, 2026

Info X Reporters

LAHAD DATU: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar penghadang lalu terjatuh ke dalam lubang pembentungan di Jalan Pantai menghala ke Bandar Lahad Datu, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa, Muhammad Almadi Hassan yang berada di bahagian penumpang kenderaan jenis Toyota Hilux disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu berusia 34 tahun dilaporkan mengalami kecederaan patah tangan.

Kedua-dua mangsa didapati terperangkap di dalam lubang pembentungan (jacking pit) sedalam kira-kira tujuh meter dan selebar 6.5 meter yang sedang dalam proses pembinaan oleh Jabatan Pembentungan dan Saliran Sabah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.04 pagi sebelum 14 anggota bersama beberapa jentera dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira dua kilometer dari balai.

Keadaan kenderaan pacuan empat roda dinaiki mangsa selepas terjatuh ke dalam lubang pembentungan di Jalan Pantai, Lahad Datu.

“Pasukan tiba di lokasi pada jam 7.08 pagi dan mendapati sebuah kenderaan terbabas sendiri, melanggar penghadang sebelum terjatuh ke dalam lubang pembentungan yang masih dalam pembinaan.

“Terdapat dua mangsa terlibat dan pasukan bomba bertindak mengeluarkan kedua-duanya menggunakan tali serta stretcher,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa penumpang disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala pemandu yang cedera dibawa ke hospital menaiki ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Anggota bomba mengeluarkan mangsa lelaki dari kenderaan yang terjatuh ke dalam lubang pembentungan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya lagi, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tindakan dan siasatan lanjut.

“Operasi menyelamat turut dibantu agensi lain termasuk KKM dan PDRM sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.07 pagi.

“Pasukan bomba turut memasang sawar keselamatan di lokasi kejadian bagi mengelakkan sebarang risiko bahaya lain sebelum operasi ditamatkan,” katanya. – Info X