SANDAKAN: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas ke dalam parit di tepi jalan di Taman Indah Jaya, di sini, awal pagi tadi.
Mangsa lelaki berusia 30 tahun yang memandu kereta jenis Mitsubishi Lancer disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 4.25 pagi.
Katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan digerakkan ke tempat kejadian.

“Kemalangan membabitkan sebuah kereta Mitsubishi Lancer terbabas sendiri lalu termasuk ke dalam parit tepi jalan.
“Terdapat seorang mangsa tersepit dalam kereta dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi kemalangan.
“Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Selepas memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain yang wujud, operasi ditamatkan pada 5.57 pagi,” katanya. – Info X