KOTA KINABALU: Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit nahas dengan sebuah kereta di Jalan Lintas, berhampiran Starbucks, di sini, malam tadi.
Kejadian kira-kira jam 9 malam itu, membabitkan motosikal jenis Honda Vario ditunggang lelaki berusia lingkungan 20-an, dan kereta Proton Saga dipandu oleh seorang wanita berusia lingkungan 20-an.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati pemandu Proton Saga datang dari arah Jalan Lintas Plaza dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kondominium Ria, Jalan Khidmat.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, pemandu Proton Saga itu bergerak masuk ke simpang kanan menuju ke Jalan Khidmat.
“Pada masa yang sama, datang sebuah motosikal ditunggang mangsa yang datang dari arah bertentangan iaitu jalan lurus telah melanggar bahagian sisi kiri pintu hadapan pemandu Proton Saga berkenaan.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal terjatuh dan terbaring di atas jalan raya di lorong paling kiri dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas akibat parah di bahagian dalaman,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Kasim berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu Proton Saga yang cuai ketika hendak memasuki simpamg ke Jalan Khidmat sehingga menyebabkan berlaku kemalangan.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memandu dalam keadaan berhati-hati dan patuh kepada peraturan lalu lintas.
“Pengguna jalan raya turut diingatkan supaya sebelum memasuki mana-mana persimpangan jalan hendaklah memastikan dalam keadaan yang selamat barulah memasuki ke persimpangan berkenaan,” katanya. – Info X