PUTATAN: Seorang lelaki maut apabila motosikal ditungganginya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta sehingga terbakar di Jalan Utama berhadapan pusat jualan Perodua, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 4.40 pagi itu, mangsa berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Komander Operasi Kanan, Penolong Kanan Penguasa Bomba Riki Mohan Singh Ramday, berkata Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan menerima panggilan kecemasan pada jam 4.45 pagi sebelum sepasukan lapan anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati sebuah motosikal terbakar 100 peratus selepas dipercayai dirempuh sebuah kereta.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran salur bantu mula dari jentera sebelum api berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Pasukan bomba turut menjalankan pemeriksaan di sekitar lokasi bagi memastikan tiada lagi bahaya lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.17 pagi.

“Punca kemalangan masih dalam siasatan polis,” katanya. – Info X