Search

Lelaki maut tersepit selepas kereta terbabas

September 25, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas kereta dinaikinya terbabas di bahu jalan di Jalan Tun Fuad Stephens, berhampiran Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini, awal pagi tadi.

Mangsa berusia 22 tahun tersepit di dalam kenderaan, manakala seorang lagi individu yang turut terbabit dilaporkan meninggalkan lokasi sebelum pasukan penyelamat tiba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.01 pagi.

Katanya, seramai 10 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi sebelum tiba pada jam 4.07 pagi.

“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati sebuah Perodua Viva terbabas sendiri di bahu jalan dengan seorang lelaki tersepit di dalam kenderaan.

“Kemalangan itu membabitkan dua mangsa, namun seorang daripadanya dilaporkan sudah meninggalkan lokasi sebelum ketibaan pasukan penyelamat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, anggota bomba kemudian menjalankan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan hidraulik jenis ‘spreader’ dan ‘cutter’.

“Mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 4.29 pagi sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Operasi yang turut membabitkan polis dan KKM ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.14 pagi selepas keadaan di lokasi dipastikan selamat. – Info X