Search

Lelaki maut tertimbus tanah ketika kerja tanam paip

September 6, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas tertimbus runtuhan tanah sedalam tiga meter ketika melakukan kerja-kerja menggali dan menanam paip di kawasan Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, tengah hari tadi.

Mangsa berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi selepas berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu.

Ketua BBP Kota Kinabalu, Timbalan Penguasa Bomba I, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.45 tengah hari sebelum 12 anggota digegaskan ke lokasi.

“Pasukan tiba pada jam 2.03 petang dan mendapati seorang lelaki tertimbus runtuhan tanah sedalam kira-kira tiga meter ketika menjalankan kerja pemasangan paip.

“Anggota bomba bertindak menggali tanah bagi mengeluarkan mangsa sebelum membawanya naik menggunakan pengusung (stretcher),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anggota bomba menggali tanah bagi mengeluarkan mangsa yang tertimbus.

Menurutnya, pemeriksaan pegawai perubatan di lokasi kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.50 petang,” katanya.

Turut berada di lokasi ialah pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). – Info X