BELURAN: Seorang lelaki melecur di beberapa bahagian di tubuhnya dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Telupid, Telupid, di sini, pagi tadi.
Mangsa lelaki dewasa yang melecur tahap satu diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.57 pagi.
Katanya, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran dan jentera digerakkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, didapati sebuah rumah jenis tidak kekal terbakar sepenuhnya dan seorang lelaki melecur tahap satu dan diberi rawatan awal.
“Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran dua pancutan dari sumber air terbuka (sungai),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, operasi terkawal pada jam 10.40 pagi dan tamat sepenuhnya jam 10.55 pagi.
“Punca kejadian masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya. – Info X