KOTA MARUDU: Seorang lelaki dihukum penjara 12 tahun dan enam sebatan selepas mengaku bersalah merogol anak kandungnya pada awal Januari lalu.
Tertuduh warga tempatan berumur 37 tahun itu membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, A Akhiruddin Acho ketika sebutan semula kesnya di Mahkamah Kota Marudu, di sini, pada Selasa.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dikenakan pengawasan polis selama tiga tahun setelah selesai menjalani hukuman.
Lelaki berkenaan yang tidak diwakili peguam dituduh melakukan jenayah berkenaan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.
Pertuduhan pada 20 Januari lalu itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suhayl Aminin Sallehuddin dan tiada jaminan ditawarkan, manakala sebutan semula pada hari ini (Selasa).
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa merogol anaknya di dalam sebuah kereta yang diletakkan di tepi sungai di Pitas pada kira-kira jam 6 petang, 6 Januari lalu.
Sementara itu, berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan pada petang 7 Januari lalu setelah satu laporan polis diterima daripada mangsa, iaitu anak perempuan tertuduh pada awal hari yang sama.
Mangsa yang berumur 16 tahun mendakwa dirogol bapanya di dalam sebuah kereta yang diletakkan di tepi sungai di Pitas.
Berikutan laporan itu, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu bertindak menahan tertuduh.
Turut dirampas sebuah kereta pacuan empat roda Toyota Hilux dan pakaian milik suspek untuk siasatan lanjut.
Siasatan turut dijalankan dengan bantuan Pasukan Forensik dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
Setelah kertas siasatan dilengkapkan, kes kemudian dirujuk ke Jabatan Peguam Negara sebelum lelaki berkenaan dituduh mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan. – Info X