TAWAU: Tindakan seorang lelaki yang membuat kerosakan di surau menggunakan batu dan mengamuk membawa tombak kelapa sawit membawa padah apabila ditahan polis, semalam.
Suspek berusia 30-an itu ditahan oleh sepasukan polis dari Polis Bantuan Brumas, Kalabakan selepas menerima laporan di Pos Kawalan Kalum Dumpas.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata seorang polis bantuan menerima maklumat mengenai kejadian itu.
Katanya, seorang lelaki dipercayai telah membuat kerosakan di surau menggunakan batu dan mengamuk membawa tombak kelapa sawit.
“Bimbang akan keselamatan, penduduk di kawasan berkenaan telah membuat laporan di Pos Kawalan Kalum Dumpas.
“Bertindak atas laporan, sepasukan anggota Polis Bantuan Brumas Kalabakan bertindak menahan suspek terbabit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan awal, suspek terbabit adalah warga asing berusia 30-an dan tinggal di kawasan berhampiran Ladang Dumpas.
“Polis turut merampas sebatan tombak kelapa sawit dipercayai digunakan oleh suspek ketika mengamuk di lokasi kejadian.
“Suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya. – Info X