Search

Lelaki miliki beberapa rekod jenayah diberkas curi kabel TM

November 3, 2023

Info X Reporters

PAPAR: Tidak serik-serik melakukan jenayah, seorang lelaki yang mempunyai beberapa rekod jenayah lampau sekali lagi ditangkap selepas disyaki mencuri kabel.

Suspek berusia 39 tahun ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar di sebuah rumah di Bongawan, di sini, kira-kira jam 2 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, tangkapan itu dilakukan selepas polis menerima laporan kabel milik Telekom Malaysia (TM) di tepi jalan utama Papar – Bongawan, dipotong, pada 15 Oktober lalu.

Katanya, hasil siasatan pasukan polis membuat serbuan di sebuah rumah di Bongawan.

“Setiba di lokasi telah membuat pemeriksaan dalam rumah dan menahan suspek. Soal siasat membawa kepada pasukan polis ke sebuah rumah kosong dan menemui satu guni wayar TM dipercayai dicuri.

“Turut ditemui peralatan digunakan ketika melakukan jenayah iaitu gergaji besi, alat ragum, pemotong dan pisau,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Papar untuk tindakan lanjut.

Suspek diberkas polis selepas disyaki mencuri kabel TM di tepi jalan utama Papar – Bongawan. – Foto/PDRM

“Hasil siasatan awal mendapati suspek turut memiliki beberapa rekod jenayah lampau. Suspek akan dipohon reman selama empat hari bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, Kamaruddin berkata orang awam dinasihatkan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah kepada pihak polis dengan kadar segera di talian 088-912222.

“Orang awam juga dinasihatkan supaya memaklumkan kepada balai polis berdekatan sekiranya ternampak mana-mana individu yang mencurigakan dan melakukan jenayah kecurian/khianat terhadap harta awam,” katanya. – Info X