PENAMPANG: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terbabit kegiatan pengedaran dadah di tepi jalan berhampiran Country Height, di sini, pada Selasa.
Dalam tangkapan jam 2 petang itu, polis turut merampas dadah jenis syabu seberat 99.34 gram yang dianggarkan bernilai RM19,860 daripada suspek.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, dadah terbabit ditemui selepas pemeriksaan dilakukan terhadap suspek berusia 19 tahun terbabit.
“Hasil pemeriksaan terhadap tubuh badan suspek, polis menjumpai satu plastik hitam mengandungi sampul berwarna coklat.
“Pemeriksaan lanjut kemudian mendapati ada dua plastik lutsinar yang mengandungi hablur putih disyaki dadah jenis methamphetamine (syabu) seberat 99.34 gram bernilai kira-kira RM19,860,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sammy berkata, suspek bersama dadah terbabit kemudia dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk siasatan lanjut.
Katanya, suspek yang turut didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine itu kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 3 Januari.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman mati jika sabit kesalahan dan Seksyen 15 (1) (a) yang memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan,” katanya. – Info X