Search

Lelaki OKU diperdaya, disamun selepas terima tawaran kerja melalui Facebook

May 1, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) disamun selepas menerima tawaran pekerjaan daripada seorang individu dalam satu kejadian di Kampung Kopungit, di sini, semalam.

Mangsa berusia 36 tahun yang juga seorang OKU pekak dan bisu sebelum itu ada memuat naik keinginannya untuk mencari pekerjaan melalui Facebook sebelum dihubungi suspek.

Suspek yang menawarkan kerja kepada mangsa kemudian mengambil mangsa dengan sebuah kereta jenis Proton Gen2 di Kampung Ketiau, Putatan dan dibawa ke Kampung Kopungit, dekat sini, semalam.

Setibanya di Kampung Kopungit, mangsa diacu parang dan pisau oleh dua rakan suspek yang turut menaiki kenderaan yang sama.

Suspek bagaimanapun berjaya diberkas tidak sampai 24 jam melakukan jenayah berkenaan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah D9 (Siasatan Khas) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Suspek menunjukkan kenderaan yang disyaki digunakan ketika melakukan samun ke atas lelaki OKU di Kampung Kopungit, Kepayan, Kota Kinabalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sabah, Senior Asisten Komisioner, Azmi Abd Rahim ketika dihubungi berkata, suspek berjaya diberkas di hadapan stesen minyak di Jalan Tugu, Kampung Air, di sini, jam 2 petang tadi, selepas polis menerima laporan daripada mangsa jam 6.54 petang semalam.

Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah D9 (Siasatan Khas) JSJ IPK Sabah menahan seorang lelaki berusia 29 tahun kerana dipercayai terbabit dalam kes samun berkenaan.

“Soal siasat awal, suspek mengaku terbabit dalam kes samun menggunakan parang bersama dua lagi rakannya di kawasan Kampung Kopungit, di sini.

“Hasil tangkapan suspek terbabit, polis turut merampas beberapa peralatan yang digunakan ketika melakukan samun,” katanya.

Azmi berkata, suspek dipercayai menyamun mangsa OKU di kawasan Kampung Kopungit, selepas suspek kononnya menawarkan pekerja kepada mangsa sebelum menyamunnya.

Barang yang dirampas pasukan D9 IPK Sabah selepas menahan suspek tidak sampai 24 jam melakukan samun ke atas lelaki OKU di Kampung Kopungit, Kepayan, Kota Kinabalu.

“Barangan rampasan iaitu sebuah kereta jenis Proton Gen 2, sebilah parang, pisau, kunci kenderaan dan sekeping kad pengenalan milik individu lain.

“Suspek dan barang rampasan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tambah beliau lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 iaitu melakukan samun bersenjata secara berkumpulan. – Info X