Search

Lelaki Pakistan cedera diserang kenalan

March 5, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Lelaki warga Pakistan cedera di muka dan jari kiri selepas diserang oleh lelaki kenalannya menggunakan pisau di sebuah bilik sewa di Flat Sabindo, di sini, pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 21 tahun mengenai kejadian itu.

Katanya hasil siasatan awal, kejadian itu berlaku di tingkat tiga bilik sewa Flat Sabindo, di sini kira-kira jam 7.20 pagi, sebelum membuat laporan polis.

“Punca kejadian itu dipercayai kerana suspek warga asing berusia 24 tahun menuduh mangsa masuk ke dalam bilik sewanya, sebelum berlaku pergaduhan.

“Suspek kemudian mengambil sebilah pisau dan terus mencederakan mangsa di bahagian muka dan jari kelingking,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, suspek juga turut merampas beg sandang milik pengadu yang mengandungi telefon bimbit, Mykid, kad bank dan wang tunai berjumlah RM50.

“Susulan itu, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau telah menjalankan operasi bagi mengesan suspek di kawasan Sabindo.

“Suspek berjaya ditangkap kira-kira jam 10 pagi pada hari yang sama dan dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut,” katanya.

Jasmin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324/511 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Hasil semakan, suspek yang juga penganggur turut mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Info X