Search

Lelaki parah jatuh atas bumbung kereta

September 5, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Suasana pusat beli belah KK Plaza tiba-tiba bertukar panik selepas seorang lelaki dilaporkan terjatuh dari atas bangunan dan menghempap sebuah kereta yang diletakkan di kawasan parkir, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 pagi itu, mangsa lelaki berusia 35 tahun berkenaan dilaporkan mengalami kecederaan parah akibat hentakan kuat namun masih berada dalam keadaan sedarkan diri.

Kejadian mengejutkan itu turut disaksikan orang ramai yang berada berhampiran lokasi, sehingga menimbulkan kekecohan seketika.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 11.54 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu.

“Setibanya di lokasi, pasukan bomba terus bertindak mengangkat mangsa menggunakan peralatan khas.

“Mangsa yang parah kemudiannya diserahkan kepada Ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.30 tengah hari.

Sementara itu, tinjauan di lokasi mendapati, pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah turut hadir membantu di lokasi.

Keadaan juga kembali tenteram selepas berjaya dikawal oleh pasukan polis yang mengawal keadaan lalu lintas dan sekitar lokasi kejadian dengan baik. – Info X