PENAMPANG: Seorang lelaki pengsan ketika menjalankan kerja-kerja menyukat tanah di kawasan bukit di Desa Hatchery Lok Kawi, di sini, petang tadi.
Mangsa berusia 43 tahun diselamatkan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, sebaik menerima panggilan kecemasan pada 3.05 petang.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan itu, sepasukan anggota dan pegawai bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Penampang digerakkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba kemudian bertindak mengangkat mangsa untuk dibawa turun dengan menggunakan stretcher.
“Mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seterusnya dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa menjalankan kerja-kerja menyukat tanah di kawasan bukit dan disedari pengsan oleh rakannnya.
“Mangsa selamat dan operasi ditamatkan pada jam 4.26 petang,” katanya. – Info X