KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga asing tanpa dokumen dipenjara 12 bulan selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan memberikan maklumat palsu sebagai pemohon kad pengenalan atas nama individu lain pada 2011.
Tertuduh, Amir Abdullah, 44, yang ditahan di Sandakan, kelmarin (23 Jun) membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohammad Azeem Mohd Ridzo ketika didakwa di Mahkamah Litar Kinabatangan, hari ini.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Amir didakwa mendaftarkan kad pengenalan bernombor 800911-12-6399 atas nama Abdul Kadir bin Nurdin di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Daerah Kinabatangan pada jam 11.52 pagi, 5 Mei 2011.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) dan boleh dihukum di bawah Peraturan-Peraturan yang sama.
Dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam meminta diringankan hukuman kerana menanggung empat anak, namun Pegawai Pendakwa, Mohd Faizal Tahir meminta majistret mengenakan hukuman setimpal kerana kesalahan memalsukan dokumen adalah serius.

Mohammad Azeem kemudian memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 12 bulan bermula pada tarikh dia ditangkap dan dirujuk ke Jabatan Imigresen setelah selesai menjalani hukuman.
Berdasarkan fakta kes yang diberikan kepada mahkamah, pemalsuan maklumat dilakukan tertuduh terbongkar apabila JPN menerima aduan awam daripada pemilik sebenar daftar kelahiran atas nama Abdul Kadir bin Nurdin pada 12 Jun 2015.
Aduan itu dibuat melalui Kaunter Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Sabah yang menyatakan bahawa daftar kelahiran pengadu sudah dikeluarkan kad pengenalan kepada orang lain (tertuduh).
Keterangan saksi yang terdiri daripada adik beradik pengadu mengesahkan bahawa dia tidak pernah dikeluarkan kad pengenalan kerana dokumen miliknya itu sudah dikeluarkan kepada tertuduh.
Berikutan itu, JPN melakukan semakan ke atas rekod Borang Permohonan Kad Pengenalan bernombor 800911-12-6399 atas nama Abdul Kadir bin Nurdin sebelum mendapati tertuduh memberi maklumat palsu ketika menjadi pemohon untuk mendaftarkan kad pengenalan itu pada jam 11.52 pagi, 5 Mei 2011 di JPN Daerah Kinabatangan. – Info X