PAPAR: Aksi seorang lelaki disyaki warga asing mencuri bateri kenderaan di sebuah bengkel yang tular di media sosial akhirnya ditahan di Rumah Pangsa Kinarut, Jalan Lama Papar, di sini, semalam.
Rakaman video yang tular di media sosial itu menunjukkan suspek mencuri bateri dengan membuka ruang enjin kenderaan yang parkir berdekatan dengan bengkel di Taman Limauan, Kinarut.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan, suspek dikesan melakukan kegiatan itu sebanyak dua kali iaitu jam 1.54 pagi pada 16 September dan jam 11 malam Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, kejadian itu disedari oleh pemilik bengkel ketika hendak memulakan kerja membaiki kenderaan milik pelanggan kira-kira jam 11 pagi, Sabtu lalu.
Katanya, pemilik bengkel menyedari bateri kenderaan jenis Perodua Viva hilang dipercayai dicuri.
“Hasil semakan CCTV mendapati suspek mencuri bateri itu dari kereta yang parkir dibelakang bengkel.
“Setakat ini barangan yang hilang hanya bateri kenderaan pelanggan dan laporan polis dibuat oleh pemilik bengkel untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Kamaruddin berkata, bertindak atas laporan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar dengan dibantu polis Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Kinarut membuat serbuan di sebuah Rumah Pangsa Kinarut, Jalan Lama Papar, kira-kira 5 petang semalam.

“Setiba di lokasi telah membuat pemeriksaan dalam rumah dan menahan suspek. Turut dirampas iaitu senjata parang, satu bateri kenderaan disyaki dicuri dan beberapa helai pakaian,” katanya.
Menurutnya, tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Papar untuk tindakan lanjut.
“Hasil pemeriksaan mendapati suspek berusia 27 tahun disyaki warga asing dan suspek akan dipohon reman selama empat hari bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana melakukan kegiatan curi,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, orang awam dinasihatkan supaya menyampaikan sebarang maklumat berkaitan jenayah kepada pihak polis dengan kadar segera di talian 088-912222.
“Orang awam juga dinasihatkan supaya memaklumkan kepada balai polis berdekatan sekiranya ternampak mana-mana individu yang mencurigakan dan pemilik premis digalakan untuk memasang kemudahan keselamatan CCTV untuk membantu pasukan polis,” katanya. – Info X