TAWAU: Seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kes pemerasan membabitkan ugutan menyebarkan gambar privasi seorang lelaki lain akhirnya berjaya ditahan polis, semalam.
Suspek berusia 31 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, kira-kira jam 10.30 pagi di pejabat bahagian berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, penahanan suspek dibuat hasil maklumat daripada IPD Gombak yang sedang menyiasat kes pemerasan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek adalah individu yang dikehendaki bersabit satu laporan polis yang dibuat di Gombak pada 8 November 2023 lalu.
“Dalam kejadian itu, mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 29 tahun menerima mesej ugutan daripada suspek melalui aplikasi Telegram.
“Suspek telah mengugut mangsa untuk menyebarkan gambar peribadi sekiranya tidak menyerahkan wang sebanyak RM500,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa yang ketakutan telah membuat dua transaksi pemindahan wang ke dalam akaun suspek berjumlah keseluruhan RM1,000.
“Pada 8 November 2023, suspek sekali lagi meminta wang tambahan sebanyak RM2,000 namun mangsa enggan menurut kehendak suspek, sebelum tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Katanya, hasil semakan juga mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dua kes lain, termasuk satu kes di Ranau di bawah Seksyen 22A OKKNS yang telah dikenakan kompaun, dan kes di Gombak di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan.
Jasmin berkata, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan dan Pegawai penyiasat asal kes juga telah dimaklumkan mengenai tangkapan ini.
“Polis mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati berkongsi maklumat atau gambar peribadi di media sosial, serta segera melaporkan sebarang ugutan kepada pihak berkuasa,” katanya. – Info X