TAWAU: Seorang lelaki yang sudah lebih sedekad diburu polis akhirnya tumpas apabila berjaya ditahan di Lapangan Terbang Tawau, di sini semalam.
Suspek berusia 39 tahun itu dikehendaki bersabit kes samun berkawan menggunakan senjata di Cheras pada tahun 2014 dan pernah terbabit dalam beberapa jenayah berat termasuk kes bunuh.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek diberkas sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kira-kira jam 4 petang.
“Hasil semakan mendapati suspek dikehendaki bersabit kes di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan pernah mempunyai rekod kesalahan berat lain termasuk Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jasmin berkata, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut termasuk semakan semula semua rekod lampau berkait jenayah.
Beliau turut menegaskan, polis akan terus menjejaki mana-mana individu yang masih bebas dan dikehendaki bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam di daerah ini terpelihara.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap penjenayah yang cuba bersembunyi,” katanya. – Info X