PENAMPANG: Kegiatan seorang lelaki warga asing yang dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah terbongkar selepas ditahan polis dalam operasi di Putatan, di sini, tengah malam tadi.
Suspek berusia 23 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang ketika berada berhampiran sebuah premis dobi 24 jam, kira-kira jam 12.30 tengah malam.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pemeriksaan terhadap suspek membawa kepada penemuan sejumlah dadah disyaki syabu yang dibungkus dalam beberapa paket plastik.
Katanya, suspek kemudian ditahan sebelum dibawa ke pejabat BSJND Penampang bersama barang rampasan untuk siasatan lanjut.
“Hasil pemeriksaan menemukan 11 paket plastik lut sinar pelbagai saiz mengandungi ketulan hablur jernih disyaki syabu.
“Keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan seberat 59.64 gram dengan nilai pasaran kira-kira RM6,000,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup berserta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Beliau berkata, polis akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah berkenaan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terbabit dalam sebarang kegiatan berkaitan dadah serta menyalurkan maklumat mengenai kegiatan pengedaran dadah kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – Info X