BEAUFORT: Seorang lelaki warga asing berusia 43 tahun ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di Kampung Limputong, Weston, di sini, hari ini.
Suspek ditahan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort hasil tindakan pantas pihak polis susulan laporan diterima.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan.
“IPD Beaufort memandang serius sebarang bentuk jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan akan mengambil tindakan tegas bagi memastikan mangsa mendapat pembelaan sewajarnya serta pelaku dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.