Search

Lelaki warga asing rogol remaja perempuan ditahan

July 25, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Polis menahan seorang lelaki warga asing kerana disyaki terbabit kes rogol membabitkan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di sebuah ladang, di sini, Rabu lalu.

Tangkapan suspek berusia 34 tahun yang bekerja sebagai buruh ladang itu dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan Balai Polis Bombalai, kira-kira jam 9 malam semalam.

Difahamkan, kejadian itu terbongkar apabila mangsa memaklumkan kepada rakannya bahawa dia dirogol oleh lelaki dikenali sebelum dibawa ke balai polis untuk membuat laporan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, bertindak atas laporan itu, sepasukan polis melakukan serbuan di sebuah rumah dalam ladang berkenaan.

“Suspek berusia 34 tahun itu ditahan bersama pakaian yang disyaki dipakai ketika kejadian.

“Suspek yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah dibawa ke balai polis bersama barang rampasan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan kerana merogol. – Info X