SANDAKAN: Seorang lelaki warga Filipina ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan samun berkumpulan menggunakan senjata tajam di kawasan Batu 3, di sini, yang mengakibatkan mangsa kerugian kira-kira RM1,300.
Suspek berusia 48 tahun itu ditahan kira-kira jam 3 pagi menerusi Op Sentap di kawasan penempatan setinggan di belakang Bandar Letat Jaya, Batu 3, Jalan Lintas Utara, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman, berkata pemeriksaan terhadap suspek membawa kepada penemuan sebilah pisau sepanjang 27 sentimeter bersarung merah yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek disyaki terbabit dalam kes samun berkumpulan menggunakan senjata tajam yang dilaporkan pada 1 Jun lalu.
“Hasil soal siasat awal, suspek turut dipercayai mempunyai kaitan dengan beberapa kes jenayah lain di sekitar daerah ini.
“Semakan rekod mendapati suspek mempunyai satu rekod kesalahan lampau mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, kejayaan tangkapan itu mencerminkan komitmen polis dalam membanteras kegiatan jenayah serta memastikan keselamatan dan ketenteraman masyarakat terus terpelihara.
Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi mengekang kegiatan jenayah di daerah itu.-Info X