KOTA KINABALU: Sabah FA berjaya mengikat APF FC dari Nepal dengan keputusan seri tanpa jaringan berikutan kecekapan penjaga gol, Nurul Azurin Mazlan dalam aksi Kumpulan C pusingan awal Liga Juara-Juara Wanita AFC (AWCL) di Stadium Likas, malam ini.
Hasil kecekapannya, Nurul Azurin berjaya mematahkan semua cubaan berbahaya APF FC, sekali gus memaksa pasukan lawan yang lebih agresif sepanjang perlawanan, berkongsi satu mata dengan tuan rumah.
Nurul Azurin terpaksa bekerja keras mempertahankan gawang Sabah sepanjang 90 minit permainan, bermula dari seawal minit pertama lagi.
Sekurang-kurangnya empat atau lima serangan berbahaya pasukan lawan diselamatkan Nurul Azurin berikutan ketangkasannya mendakap bola dan membaca arah serangan pelawat.
Sementara itu, permainan malam ini menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa bermain dalam hujan lebat sepanjang babak pertama, menyebabkan banyak percaturan permainan gagal menepati sasaran, terutama Sabah FA.
Skuad Sabah FA kelihatan banyak terlepas bola berikutan keadaan bola dan padang yang licin, sekali gus menggagalkan mereka untuk melakukan serangan berbisa ke atas pasukan lawan.
Berikutan keputusan itu, Sabah FA terpaksa bekerja keras untuk mendapatkan kemenangan apabila berdepan dengan PFC Nasaf pada perlawanan kedua, Sabtu ini. – Info X