Search

Liga Super: Kemenangan Sang Badak permulaan baik tarik sokongan peminat – Garrido

August 25, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pengendali Sabah FC, Juan Torres Garrido, menyifatkan kemenangan 3-1 ke atas Star City malam tadi sebagai permulaan yang positif bagi menarik sokongan peminat bola sepak di Sabah untuk menyaksikan perlawanan pasukan mereka, khususnya apabila bermain di Stadium Likas.

Katanya, pemain Sabah FC berjaya mempamerkan persembahan yang baik dalam aksi sulung Liga Super 2026/2027 itu, sekali gus memenangi perlawanan mengutip tiga mata untuk skuad Sang Badak.

Perlawanan malam tadi, katanya bukan saja mencapai sasaran mengutip tiga mata pada perlawanan pertama Liga Super musim ini, malah berjaya memberikan persembahan yang menarik kepada peminat yang datang ke stadium.

“Kita gembira kerana dapat mencapai apa yang kita mahu, iaitu mendapat tiga mata pada perlawanan ini dan bagi saya ia satu permainan yang baik di gelanggang sendiri.

“Ia satu permulaan yang bagus dan kita mahu menarik lebih ramai lagi penyokong serta peminat bola sepak ke Stadium Likas pada perlawanan seterusnya nanti,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Beliau berkata, penampilan ramai pemain baharu dengan permainan yang menarik membuatkan lebih 4,000 penyokong dan penonton di Stadium Likas malam tadi menyukai persembahan mereka.

Sementara itu, Garrido berkata perlawanan malam tadi juga penting bagi menilai kekuatan dan kelemahan pasukan, terutama dalam mencipta peluang dan menghalang kemaraan pihak lawan.

Katanya, perlawanan malam tadi menyaksikan gawang Sabah FC dibolosi melalui situasi bola mati dari sepakan sudut, selain turut berdepan beberapa situasi berbahaya menerusi sepakan percuma yang diberikan kepada pasukan lawan.

“Pihak lawan kebanyakannya mencipta peluang melalui situasi bola mati dan kita tahu ia memang situasi yang bahaya, tapi ia adalah sebahagian daripada permainan.

“Apa yang penting kita belajar dan berusaha memastikan pasukan lawan tidak lagi diberikan peluang seperti itu dan akhirnya kita dapat mengawal perlawanan dengan baik,” katanya.

Dalam aksi malam tadi, Sabah membuka jaringan menerusi Dane James Ingham pada minit ke-26 sebelum disamakan Star City menerusi tandukan Rafael Vitor ketika sepakan sudut pasukannya pada minit ke-28.

Kedudukan 1-1 itu bagaimanapun berubah pada separuh masa kedua apabila penyerang Sabah, Darren Lok berjaya menjaringkan gol kedua Sang Badak pada minit ke-88, disusuli jaringan ketiga oleh Park Jungbin pada minit kecederaan untuk memberi kelebihan 3-1 kepada tuan rumah. – Info X