Search

Liga Super: Sabah sasar kemenangan ketiga berturut-turut esok

October 28, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah FC berharap dapat meneruskan rentak kemenangan dua kali berturut-turut di gelangang lawan sebelum ini dengan menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC di laman sendiri, esok.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee meletakkan harapan kepada anak buahnya untuk mengekalkan prestasi menentang pasukan lawan dalam aksi Liga Super di hadapan penyokong sendiri di Stadium Likas.

Beliau mahu semua pemain kembali fokus dengan tugas utama mereka untuk memastikan Sang Badak mencapai sasaran tiga mata penting ketika bermain di laman sendiri dan tidak memandang mudah kehadiran Kedah.

“KDA FC adalah satu pasukan yang lebih baik di mana saya percaya mereka mendapat suntikan yang cukup baik dengan keputusan positif sebelum ini.

“Kita tidak boleh mengambil mudah dan saya tidak mengharapkan jaringan besar. Namun apa yang penting, kita berakhir dengan keputusan positif untuk meletakkan kita di kedudukan yang lebih selesa,” katanya mengulas persiapan Sabah FC menghadapi KDA FC.

Perlawanan esok dijadual bermula pada jam 6.45 petang.

Sambil mengharapkan kehadiran ramai penyokong Sabah, Kim Swee turut mengingatkan anak buahnya supaya mempersembahkan permainan yang baik bagi mencapai kemenangan.

“Kita harap agar penyokong setia datang beramai-ramai memberikan sokongan padu bagi memastikan Sabah FC dapat mencapai kemenangan berganda petang esok,” katanya. – Info X