KOTA KINABALU: Sabah FC tidak boleh leka selepas memenangi empat perlawanan Liga Super berturut-turut untuk berhadapan dengan baki perlawanan hingga ke penghujung musim.
Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee, berkata pemain Sang Badak mesti terus konsisten dan mengekalkan momentum bagi meletakkan Sabah di landasan terbaik.
Jelasnya, pencapaian memenangi empat perlawanan berturut-turut jarang berlaku dan ia jelas memperlihatkan sikap positif pemain Sang Badak dalam memastikan kemenangan pasukan.
“Satu perkara yang jarang kita dapati namun usaha pemain pada perlawanan pertama menentang Perak, Penang, Kedah dan seterusnya malam ini (malam tadi), Kelantan Darul Naim (KDN) FC, membuktikan pemain bukan saja positif tetapi konsisten.
“Ini yang selalu saya tekankan dan hari ini kita dapat lagi satu kemenangan, namun kita tidak boleh leka, yang mana kita kini di pertengahan musim menuju ke penghujung musim.
“Jka kita ingin berada di landasan lebih baik, kita harus mengekalkan momentum dan memperbaiki kelemahan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perlawanan Sabah menentang KDN FC di Stadium Likas, di sini, malam tadi.
Sabah membelasah KDN 4-1 sekali gus mengekalkan kemenangan di tempat sendiri selepas membenam KDA 5-2 pada minggu lalu.
Sementara itu, Kim Swee berkata pemain akan diberi rehat secukupnya sepanjang perlawanan FIFA pada bulan ini, terutama mereka yang mengalami kecederaan.
“Pemain diberi rehat untuk memastikan mereka pulih daripada kepenatan dan pada masa sama saya harap pemain yang cedera kembali pulih sepenuhnya untuk menghadapi Piala Malaysia dan aksi liga yang dijadualkan serentak selepas ini,” katanya. – Info X