Search

Liga Super: Saddil, Ramon masih cedera menjelang sepak mula Liga Super esok

May 11, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dua tonggak Sabah FC berkemungkinan tidak dapat diturunkan bagi memperkuat pasukan untuk mengharungi perlawanan pertama Liga Super menentang Pulau Pinang FC di Stadium Likas, petang esok.

Dua pemain terbabit, Ramon Machado dan Saddil Ramdani mungkin tidak dapat diturunkan kerana masih mengalami kecederaan selepas perlawanan pra musim Piala Sabah Maju Jaya (SMJ), minggu lalu.

Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, berkata kedua-dua mereka belum pulih sepenuhnya, namun penilaian akhir akan dibuat sebelum sepak mula yang dijadual jam 5.45 petang esok.

Bagaimanapun, katanya masih ada tempoh 48 jam untuk melihat secara keseluruhan tahap kecergasan mereka sama ada dapat diturunkan atau sebaliknya.

“Kita tidak akan mengambil risiko berikutan perjalanan Liga Super baru bermula dan dalam masa sama Sabah FC sedang mencorak taktikal lain untuk mengisi kekosongan sekiranya kedua-dua mereka tidak dapat diturunkan petang esok,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ramon dan Saddil dijangka tidak bersama pasukan untuk aksi menentang Penang FC esok. – Foto/Sabah FC

Selain dua pemain terbabit, katanya seorang lagi pemain, S Kumaahran juga berada dalam senarai kecederaan manakala penjaga gol, Damien Lim tidak dapat beraksi selama enam hingga lapan minggu berikutan kecederaan ketika perlawanan Piala SMJ sebelum ini.

“Kita akan lihat perkembangannya, Damien Lim memerlukan masa untuk mendapatkan semula tahap kecergasannya,” katanya.

Mengulas lanjut persiapan Sabah menentang Pulau Pinang, Kim Swee menyifatkan ia bukan perlawanan mudah memandangkan pasukan lawan mempunyai jurulatih baharu dan beberapa pemain yang sangat berkualiti.

“Penang FC juga bersiap sedia dengan banyak menghadapi perlawanan persahabatan pra musim termasuk tiba dua hari lebih awal ke Kota Kinabalu.

“Ini menunjukkan Penang FC sangat serius dalam menghadapi saingan musim 2024/2025,” katanya.

Bagaimanapun, katanya Sabah FC juga sudah bersiap sedia sepenuhnya dalam mengharungi kempen Liga Super kali ini selepas menjadi juara Piala SMJ minggu lalu.

Katanya, banyak kelemahan dan kekuatan pasukan bimbingannya itu yang dapat dilihat sepanjang aksi Piala SMJ yang perlu dibaiki menjelang sepak mula Liga Super.

“Kita cuba memperbaiki beberapa kelemahan sedia ada bagi mencapai keputusan positif pada perlawanan pertama petang esok.

“Sudah tentu, Sabah FC juga memerlukan sokongan padu dalam penonton…Ayuh semua datang ke Stadium Likas esok,” katanya. – Info X