KOTA KINABALU: Sabah FC bersemangat bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT), malah mahu membuat kejutan apabila bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim untuk aksi Liga Super, Sabtu ini.
Ketua Jurulatihnya, Martin Stano, berkata meskipun tanpa tiga tonggak utama, misi Sang Badak tetap kental untuk melakar keputusan positif di gelanggang pendahulu liga itu.
Beliau berkata, pasukannya terpaksa melupakan khidmat dua pemain import, Gabriel Peres dan Telmo Castanheira selain pemain kebangsaan, Daniel Ting kerana dilayang kad merah dalam beberapa perlawanan sebelum ini.
Meskipun begitu, katanya Sabah FC mempunyai ‘game plan’ yang cukup teliti bagi menghadapi JDT, sekali gus memastikan kesebelasan utama pasukan mampu memberikan saingan sengit kepada skuad Harimau Selatan.
“Kita meletakkan sasaran tinggi bertemu JDT Sabtu ini kerana Sabah FC bertemu dengan pasukan terbaik dalam Liga Super. Saya tidak percaya bahawa keputusan seri atau kemenangan sudah cukup sebagai ukuran menentang JDT nanti.
“Perkara paling penting bagi saya adalah Sabah FC dapat mengekalkan prestasi semasanya dan terus kekal pada tahap maksimum. Apa yang penting pemain dapat menggalas tugas dengan baik serta menyumbang mata penting nanti,” katanya mengulas persiapan skuad Sang Badak.

Stano berkata, Sabah FC perlu mengekalkan rentak kemenangan dan memastikan tumpuan penuh pada perlawanan itu nanti.
“Kita masih ada masa untuk sesi latihan bagi membuat persiapan akhir sebelum menjelang perlawanan pada Sabtu ini.
“Jadi mungkin kita akan melakukan beberapa pelarasan posisi untuk mencorak strategi dan bersedia untuk mengejutkan pasukan lawan nanti,” katanya.
Mengulas mengenai perlawanan Piala Malaysia dan Liga Super, beliau berkata Sabah FC menganggap kedua-dua perlawanan itu sangat penting.
“Kita akan memberi tumpuan dan fokus kepada setiap perlawanan satu demi satu. Sekarang, fokus kita adalah kepada perlawanan menentang JDT dalam Liga Super.
“Menjelang perlawanan separuh akhir Piala Malaysia akan datang nanti, kita juga akan memberi tumpuan sepenuhnya untuk memperoleh keputusan baik dalam kedua-dua perlawanan,” katanya. – Info X