KOTA KINABALU: Sabah FC mahu mengekalkan kedudukan di lima tangga teratas Liga Super musim 2025-2026 setelah berjaya kekal di tangga ketiga selama tiga musim berturut-turut.
Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata sasaran itu bersandarkan pencapaian dan kekuatan semasa pasukan Sang Badak itu.
“Kita menyasarkan untuk cuba mendapatkan kedudukan lima tempat yang terbaik pada musim ini,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian di antara Jetama Sdn Bhd dan Sabah FC bagi penajaan air minuman rasmi bagi musim ini, di sini, pada Isnin.
Hadir sama Pengerusi Jetama, Datuk Yusof Abdul Manan; Ketua Pegawai Eksekutif Jetama, Datuk Ahmad Naim Uddang; Pengurus Besar Sabah FC, Mohd Joh Wid dan Setiausaha Agung SAFA, Shamsuddin Mohd Shah.
Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata pada tahun ini Sabah FC menampilkan lebih ramai pemain tempatan Sabah, berbanding dari luar.
“Kita ada lebih kurang 15 orang pemain tempatan, 11 orang pemain daripada dalam Malaysia dan lima orang pemain import.
“Jadi, kita berharap pasukan Sabah FC akan terus memberi saingan yang baik dan yang sihat di peringkat Liga Super pada musim ini,” katanya. – Info X