KOTA KINABALU: Sabah FC tidak mahu hilang tiga mata yang bakal mengukuhkan lagi kedudukannya dalam carta Liga Super musim ini ketika melayan kunjungan Kelantan Darul Naim (KDN) FC di Stadium Likas, petang esok.
Dengan tiga tonggak utamanya dijangka tidak dapat diturunkan akibat kecederaan, pasti agak sukar buat Sang Badak, namun misi mengutip tiga mata di gelanggang sendiri tetap menjadi sasaran penting.
Bagi menghadapi situasi itu, Ketua Jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee sudah menyusun percaturan pasukan bagi memastikan tiga mata dalam perlawanan itu menjadi milik Sabah.
Katanya, tiga pemain yang terpaksa direhatkan ialah penyerang pasukan, Saddil Ramdani bersama Muhammad Jafri Firdaus Chew dan pemain tengah dari Korea Selatan, Kwang-min Ko.

Meskipun begitu, beliau tidak akan melakukan penggiliran pemain memandangkan perlawanan esok cukup penting bagi memastikan Sabah FC mampu meletakkan diri dalam kedudukan terbaik carta Liga Super.
“Saya hanya akan membuat pertukaran pemain dan mengenal pasti beberapa pemain lain untuk mengambil alih posisi ditinggalkan pemain-pemain yang cedera ini.
“Kemungkinan besar beberapa pemain lain sudah siap sedia untuk diturunkan bagi memastikan Sabah FC tidak kehilangan tiga mata berharga di Stadium Likas pada perlawanan esok,” katanya, di sini.
Kim Swee berkata dalam tiga perlawanan lalu Sabah FC mendapat keputusan yang positif, namun ia bukan bermakna skuad Sang Badak harus mengambil mudah ketika melayan kunjungan Kelantan.
“Kita tidak boleh leka walaupun bermain di tempat sendiri. Seperti saya katakan sebelum ini kita (Sabah FC) harus kekal konsisten.
“Untuk kekal berada di tempat pertama, kedua dan ketiga adalah idaman Sabah FC tetapi kita harus kekal fokus dan paling penting adalah permainan yang konsisten pada petang esok,” katanya.
Beliau berkata, Sabah FC mahu mendapatkan kedudukan yang terbaik apabila saingan Liga Super musim ini berada di penghujungnya nanti.
Setakat ini Sabah mengumpul 23 mata menerusi 13 perlawanan dan berada di tangga ketiga carta liga selepas menang tiga perlawanan berturut-turut, masing-masing dua di tempat lawan dan satu di Stadium Likas, sebelum ini. – Info X