KOTA KINABALU: Seorang lelaki meluahkan kesedihan dan perasaannya di media sosial selepas dia kehilangan isterinya yang baru beberapa hari melahirkan anak mereka.
Lebih menyedihkan lagi, isterinya itu ditemui dalam keadaan tidak bernyawa dengan bayinya menangis di sisi jasad wanita itu.
Lelaki berkenaan, Exly Jailon berkata, dia sangat terkilan isterinya meninggal dunia ketika dia tiada di sisi wanita itu kerana terpaksa bekerja.
“Daddy (panggilan Exly dengan isterinya) tidak tahu dari jam berapa lagi sayang (isterinya) sudah kehilangan nyawa…baby (bayi) kita meraung menangis kelaparan.
“Andaikan saja masa itu baby pun ada apa-apa (perkara tak diingini berlaku) masih mampukah daddy teruskan hidup,” katanya yang meluahkan perkara itu di Facebook secara bersiri sejak empat hari lalu.
Exly mendakwa, dia terpaksa keluar bekerja selepas majikannya hanya memberikan pelepasan dua hari cuti paterniti pada 5 dan 6 Mei untuk menjaga isterinya dalam pantang.
“(dapat) Paternity leave (untuk) mendiang isteri beranak dua hari saja.
“Saya pergi klinik (8 Mei) pun terpaksa ambil cuti tahunan untuk membawa isteri saya dan kemudian 9 Mei saya kehilangan dia.
“Kamu boleh bayangkan, balik-balik dari kerja wife (isteri) sudah tidak bernyawa, anak yang baru lahir dalam usia empat hari menangis tidak dapat menyusu di samping ibu dia yang sudah baring keras tidak bernyawa,” katanya.
Dalam hantarannya di Facebook juga, Exly turut meluahkan rasa terkilan terhadap majikannya yang seolah-olah tidak memahami serta mengabaikan kebajikan pekerja.
“Masa wife (isteri) saya beranak kamu suruh juga datang kerja.. bila wife saya meninggal baru kamu senang-senang cakap kami turut bersedih dengan pemergian isteri kamu.
“Cakap saja bagi cuti tanpa gaji saya boleh terima, saya ini terpaksa kerja. Gara-gara komitmen kerja, saya balik wife sudah tak bernyawa.
“Bagus saya cuti tanpa gaji sajalah jaga mendiang wife saya dulu. Orang cuti berkabung pun kena ‘non pay leave’ (cuti tanpa gaji). Terbaik,” katanya.
Dalam satu lagi hantaran, Exly turut memberitahu dia mengalami ‘anxiety’ (keresahan) kerana masih tertekan dan bersedih dengan apa yang menimpa kepada keluarganya itu.
“Orang tak akan faham keadaan daddy macam mana bila datang ‘anxiety’, trauma dan tekanan dengan perasaan memberontak.
“Daddy dapat buat hanya meluahkan agar segala terpendam dalam hati terlepas tetapi tak akan cukup selagi daddy dalam keadaan trauma sangat mendalam.
“Memang semangat dan fikiran saya sekarang tengah kosong dan trauma saja tetapi terubat bila bersama anak yang jadi pendorong dan pembangkit semangat saya.
“Family (keluarga) semua pun suruh berehat di kampung ambil masa untuk tenangkan hati dan fikiran, terima kasih kepada kamu dan sahabat yang sudah anggap saya sebagai keluarga mereka yang sentiasa datang memberi semangat agar saya tidak berseorangan hadap semua ini,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata, beliau amat sedih dan turut bersimpati dengan kejadian yang menimpa Exly.
Bagaimanapun, beliau amat berharap agar semua pihak tidak membuat apa-apa spekulasi dan menyerahkan kepada Kementerian Sumber Manusia untuk menyelesaikan situasi ini sebaik mungkin mengikut perundangan dan kemanusiaan.
“Sebaik mendapat berita tersebut, saya telah meminta Jabatan Tenaga Kerja Sabah untuk membantu perkara ini bagi mendapat maklumat yang tepat daripada pekerja dan majikan.
“Saya dimaklumkan pada masa ini pekerja masih lagi amat sedih dengan pemergian isterinya dan hanya mahu bersama anaknya yang baru dilahirkan.
“Mengikut sumber daripada majikan, mereka telah dimaklumkan oleh pekerja tentang isterinya yang telah bersalin dan telah memberi cuti paterniti kepada pekerja selama dua hari untuk urusan berkaitan. Majikan juga membenarkan pekerja untuk mengambil cuti tahunan sehingga urusan selesai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mustapha berkata, majikan terbabit ada menyatakan bahawa selepas enam hari kelahiran, pekerja telah datang bekerja dan memaklumkan pada pagi berkenaan kepada pengurusan syarikat bahawa isteri dan anaknya dalam keadaan sihat dan beliau boleh bekerja seperti biasa. Bagaimanapun, katanya, pada hari sama, apabila pulang dari kerja, Exly mendapati isterinya telah meninggal dunia disamping anak yang baru dilahirkan berseorangan di samping mendiang ibunya.
“Majikan juga ada memaklumkan bahawa bantuan dan sumbangan telah diberikan termasuk urusan semasa di hospital sebaik mengetahui perkara ini dan majikan juga bersedia untuk membantu apa-apa keperluan yang diperlukan oleh pekerja.
“Saya mohon agar netizen tidak menyalahkan sesiapa dalam kejadian ini kerana pihak majikan masih mematuhi Ordinan Buruh (Sabah Bab 67). Untuk makluman buat masa sekarang peruntukan cuti bersalin kepada bapa sebanyak tujuh hari sebagaimana yang telah dilaksanakan di Semenanjung masih belum dikuatkuasakan di Sabah.
“Saya ingin memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah memberi persetujuan kepada KSM untuk meminda Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) agar pekerja di Sabah juga mendapat faedah yang sama sebagaimana pekerja di Semenanjung.
“Pindaan ini telah diperhalusi dengan perbincangan bersama antara Kerajaan, Majikan dan Kesatuan Sekerja di Sabah dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk keadaan ekonomi dan realiti pembangunan Negeri Sabah,” katanya.
Tambah beliau, kementeriannya memberi komitmen bahawa hak pekerja akan diperjuangkan sesuai dengan Piawaian Perburuhan Antarabangsa yang digariskan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Sementara itu, Mustapha berkata, hasil siasatan oleh JTK Sabah, memang benar majikan ada memotong gaji pekerja selama 13 hari semasa tempoh berkabung kerana pekerja tidak memohon apa-apa cuti tahunan dan sehingga sekarang pekerja masih belum memaklumkan kepada pihak majikan bilakah tarikh akan bekerja semula.
Bagaimanapun, katanya, setelah dinasihati oleh JTK Sabah, majikan telah menarik balik potongan tersebut dan telah membayar gaji penuh kepada pekerja walaupun menjadi tanggungjawab pekerja untuk memohon cuti tahunan terlebih dahulu jika tidak hadir bekerja.
“Mengikut undang-undang, pekerja perlu bekerja genap dua belas bulan terlebih dahulu untuk melayakkan cuti tahunan, tetapi atas nasihat JTK Sabah, majikan bersetuju untuk memberi cuti bergaji selama pekerja tidak hadir bekerja.
“Saya difahamkan bahawa pekerja ini mula bekerja dengan syarikat ini pada 2 Disember 2022 iaitu selama lima bulan sehingga sekarang.
“Saya juga dimaklumkan bahawa pekerja hanya hadir tiga hari sepanjang bulan Mei 2023 dan pihak majikan tetap membayar gaji penuh untuk bulan tersebut setelah mendapat nasihat daripada JTK Sabah.
“JTK Sabah masih berusaha untuk mendapatkan maklumat daripada pekerja tentang kejadian sebenar yang berlaku pada hari kejadian. Bagaimanapun semasa dihubungi, pekerja memaklumkan bahawa beliau amat sedih dan trauma dengan kehilangan isteri tersayang serta masih belum dapat menerima dengan apa yang telah berlaku,” katanya. – Info X