KUDAT: Lima individu cedera dalam kemalangan jalan membabitkan lima kenderaan di Jalan Kampung Kandawayon, di sini, tengah malam tadi.
Dalam kejadian jam 12.39 tengah malam itu, kemalangan membabitkan sebuah Perodua Axia, Proton, dua Perodua Myvi dan sebuah Toyota Revo.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, PKPgB Darickson Galanang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.39 tengah malam.
Katanya, sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dan Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) kemudian dikerahkan ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat dan bantuan kecemasan.
Katanya, pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira jam 1.07 pagi dan mendapati kemalangan membabitkan lima kenderaan dengan lapan mangsa.
“Hasil pemeriksaan mendapati lima mangsa mengalami kecederaan manakala tiga lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mangsa yang cedera membabitkan dua lelaki masing-masing berusia 24 dan 33 tahun yang menaiki Perodua Axia, selain seorang wanita berusia 49 tahun serta dua lelaki berusia 26 dan 24 tahun yang berada dalam Perodua Myvi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, semua mangsa yang cedera diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Kudat menggunakan EMRS dan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Katanya, tiga lagi mangsa iaitu pemandu Toyota Revo, pemandu Perodua Myvi dan pemandu Proton dilaporkan selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.20 pagi,” katanya. – Info X