Search

Lima lelaki ditahan bersama dadah, bakakuk, peluru

July 24, 2025

Info X Reporters

KENINGAU: Kegiatan seorang lelaki memiliki dadah terbongkar apabila dia bukan saja ditahan bersama syabu, malah turut menyimpan senjata api buatan sendiri jenis bakakuk dan tujuh butir peluru hidup.

Suspek berusia lingkungan 30-an itu dicekup dalam serbuan Ops Tapis yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau di Kampung Toboh Baru, semalam.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, suspek ditahan bersama dadah jenis syabu seberat 1.50 gram.

“Pemeriksaan lanjut menemui tujuh butir peluru hidup dan satu laras senapang buatan sendiri jenis bakakuk disorok bersama barang milik suspek.

“Suspek disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Senjata api buatan sendiri jenis bakakuk bersama peluru yang dirampas dalam Ops Tapis di Kampung Toboh Baru, Keningau.

Yampil berkata, operasi sama turut menahan seorang lagi lelaki mengikut Seksyen 12(2) akta sama, membabitkan rampasan syabu seberat 0.19 gram.

“Tiga lagi lelaki turut ditahan selepas ujian air kencing mendapati mereka positif dadah.

“Kelima-lima suspek kini disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Beliau berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau akan terus melaksanakan operasi agresif bagi membanteras penyalahgunaan dadah dan pemilikan senjata api haram di daerah ini. – Info X