KOTA KINABALU: Lima individu termasuk empat petugas kesihatan dan seorang juruterbang disahkan meninggal dunia selepas helikopter BO-105 yang melakukan penerbangan perkhidmatan doktor udara terhempas berhampiran STOLport Long Lellang, Sarawak, hari ini.
Residen Miri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri, Galong Luang, mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Borneo Post.
Beliau berkata, kesemua lima individu yang berada dalam helikopter berkenaan disahkan meninggal dunia berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Kementerian Kesihatan (KKM).
“Semua lima individu di dalam helikopter itu meninggal dunia, berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Kementerian Kesihatan,” katanya menurut laporan FMT.
Helikopter terbabit dipercayai berlepas dari Lapangan Terbang Miri menuju ke Long Lellang bagi menjalankan perkhidmatan doktor udara sebelum terhempas berhampiran STOLport Long Lellang.
Galong berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat turut meluluskan penggunaan helikopter MI-17 bagi membawa keluar mayat semua mangsa dari lokasi kejadian.
Bagaimanapun, katanya, operasi berkenaan bergantung kepada keadaan cuaca selain arahan pihak berkuasa penerbangan dan agensi berkaitan.
“Operasi itu akan diketuai Ketua Polis Marudi, Nor Aizan Jamil, yang turut menyelia siasatan berhubung nahas,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa dijangka dibawa pulang ke Miri menggunakan penerbangan sama, dengan helikopter berkenaan berkemungkinan mendarat di Lapangan Terbang Miri dan bukan di helipad Hospital Miri.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, sebelum ini memaklumkan empat penumpang dalam helikopter terbabit adalah petugas KKM yang sedang menjalankan tugas rasmi.
Mereka terdiri daripada seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan dan dua jururawat.-Info X