Search

Lima warga Filipina jadi pemandu selam tanpa permit sah ditahan

October 17, 2026

Info X Reporters

SEMPORNA: Lima lelaki warga Filipina yang disyaki bekerja sebagai pemandu selam (dive guide) tanpa permit sah ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam operasi pemeriksaan bot pelancongan di perairan Laut Singamata, di sini, hari ini.

Dalam operasi kira-kira jam 10 pagi itu, semua lelaki berusia antara 20 hingga 32 tahun berkenaan gagal mengemukakan permit kebenaran bekerja yang sah di Sabah, selain memiliki dokumen yang meragukan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, operasi berkenaan dijalankan PPM Semporna dengan kerjasama empat anggota Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta dua anggota Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS).

Katanya, pemeriksaan terhadap bot pelancongan di kawasan berkenaan membawa kepada penahanan lima warga asing terbabit yang dipercayai bekerja dalam sektor pelancongan maritim tanpa kebenaran sah.

“Kesemua lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

“Operasi ini sebahagian daripada usaha berterusan membanteras penggajian warga asing tanpa permit sah, khususnya dalam sektor pelancongan maritim,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Amri berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan pemeriksaan dan penguatkuasaan di kawasan perairan pelancongan bagi memastikan pematuhan undang-undang.

Katanya, kerjasama antara agensi penguatkuasaan juga akan diperkukuh bagi menjamin keselamatan serta memelihara imej industri pelancongan Sabah. – Info X