Search

Loji penyahgaraman air laut atasi bekalan air industri di POIC Lahad Datu

March 4, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sebuah loji penyahgaraman air laut bakal dibina bagi meningkatkan keselamatan dan kelestarian bekalan air di kawasan Kluster Perindustrian Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu.

Loji dengan kapasiti permulaan sebanyak 0.5 juta liter sehari (MLD) dan boleh dinaik taraf sehingga 2.5 MLD itu adalah usahasama di antara syarikat konsesi air Sabah, Jetama Sdn Bhd dan POIC Sabah Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Jetama, Datuk Ahmad Naim Uddang, berkata, loji itu adalah sistem penapisan osmosis songsang air laut (SWRO) berskala komersial yang pertama di Sabah bagi pengeluaran air industri.

Katanya, inisiatif ini akan menyediakan bekalan air yang mampan untuk memenuhi keperluan kilang dan pelabur yang menanam modal di Zon Industri POIC Lahad Datu.

“Usahasama antara dua entiti milik kerajaan negeri ini menandakan perubahan dalam pengeluaran air di Sabah yang sebelum ini bergantung kepada sumber sungai.

“Sistem yang modular, mudah alih dan boleh dinaik taraf ini akan meningkatkan kapasiti air negeri serta menawarkan penyelesaian berskala bagi kawasan terpencil,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Perjanjian rasmi bagi melaksanakan projek itu dimeterai pada 28 Februari dengan disaksikan Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Hadir sama Pengerusi Jetama, Datuk Yussof Abd Manan dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE), Datuk Thomas Logijin.

Loji berkenaan akan dibina di tapak seluas 3.21 ekar di POIC Lahad Datu, Fasa 2 (Tanah 32A) dengan pengambilan air laut dari Terminal Pukal Kering.

Projek dijadual dilaksanakan dalam tiga fasa utama, bermula dengan Fasa 1 bagi kerja reka bentuk, pembinaan dan pentauliahan sistem penyahgaraman 0.5 MLD menjelang 31 Mei 2025.

Ia kemudian disusuli Fasa 2 bagi pelaksanaan Bukti Konsep (PoC) selama tiga bulan untuk menilai kecekapan dan kebolehpercayaan sistem, kemudian Fasa 3 bagi peningkatan kapasiti kepada 2.5 MLD selepas kejayaan PoC.

Ahmad Naim berkata, projek itu menekankan kepentingan mitigasi risiko dalam aspek kelulusan peraturan, perolehan, integrasi teknologi dan pengurusan alam sekitar.

“Strategi pengurusan sisa dan air pekat akan dilaksanakan bagi mengurangkan impak terhadap alam sekitar.

“Jetama Sdn Bhd komited untuk mengekalkan kualiti, kecekapan dan tanggungjawab alam sekitar sepanjang projek ini,” kata Datuk Ahmad Naim.

Dengan peningkatan permintaan industri di POIC Lahad Datu, sistem penyahgaraman itu disasar menawarkan penyelesaian lestari dan berdaya tahan terhadap kekurangan bekalan air.

Pelaksanaan inisiatif itu akan memperkukuh infrastruktur industri di Lahad Datu dan memastikan bekalan air yang stabil bagi pertumbuhan masa depan. – Info X