TUARAN: Seorang lelaki cedera parah selepas lori 10 tan membawa muatan minyak masak yang dipandunya terbabas sebelum terbalik di bahu jalan di Kampung Minangkop, Jalan Tamparuli – Ranau, di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian jam 12.20 tengah hari itu, mangsa bagaimanapun berjaya dikeluarkan orang awam sebelum ketibaan pasukan penyelamat di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Timbalan Penguasa Bomba II Kurong AK Beki berkata, sepasukan sembilan anggota bersama sebuah jentera bomba dan EMRS digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.
Katanya, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 12.46 tengah hari dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori 10 tan yang membawa muatan minyak masak.
“Terdapat seorang mangsa lelaki mengalami kecederaan parah dan telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba.
“Pasukan EMRS kemudian memberikan rawatan awal sebelum mangsa dihantar ke Hospital Tuaran untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba turut menjalankan kerja pembersihan tumpahan minyak di atas jalan menggunakan hose reel bagi memastikan kawasan kejadian selamat.
Operasi terkawal pada jam 12.57 tengah hari sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.10 petang selepas dipastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian. – Info X