Search

LRA Kogopon mulai beroperasi penuh, LRA Limbahau masih tutup

March 27, 2024

Info X Reporters

PAPAR: Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon, di sini, beroperasi semula pada kapasiti penuh, 40 juta liter sehari (MLD) mulai malam ini.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata loji itu sebelum ini hanya mampu memproses dan membekal 35 MLD.

Katanya, kapasiti loji berkenaan dapat ditingkatkan semula selepas satu pam yang rosak sejak lebih sebulan lalu siap dibaiki.

“Alhamdulillah, mulai malam ini LRA Kogopon boleh beroperasi kapasiti penuh merawat 40 MLD.

“Setelah paip utama pecah dibaiki yang membolehkan rawatan pada kadar 35 MLD sehari, hari ini pam rosak sejak lebih sebulan lalu telah siap dibaiki sebaik tibanya komponen pam gantian,” katanya di laman Facebook beliau, hari ini.

Bagaimanapun, katanya LRA Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) Limbahau yang berkapasiti 10 MLD, masih ditutup sejak lebih sebulan lalu berikutan tahap kemasinan air yang tinggi di muka sauknya.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata, satu lagi loji, iaitu LRA Jetama di Kampung Limbahau juga masih beroperasi separuh daripada kapasiti asal 10 MLD dengan menggunakan air yang diambil dari muka sauk di Kampung Kabang.

Kerja pembaikan pam yang rosak di LRA Kogopon sudah siap bagi membolehkan loji kembali beroperasi pada kapasiti penuh.

“Kita masih menanti agar kadar kemasinan air mentah di ‘water intake’ Kampung Limbahau turun ke paras 120 miligram per liter (mgl) untuk membolehkan kedua-dua loji di sana beroperasi seperti sedia kala iaitu LRA Jetama (sekarang hanya merawat lima MLD melalui bekalan ‘water intake’ Kampung Kabang) dan LRA EWSS yang telah lebih sebulan ‘shutdown’.

“Kita doakan hujan renyai seketika ini akan disusuli dengan hujan yang lebih kuat dalam masa terdekat,” katanya.

Penutupan LRA EWSS Limbahau dan penurunan kapasiti LRA Jetama kepada lima MLD menyebabkan kira-kira 150,000 penduduk di Papar berdepan masalah air yang kritikal sehingga daerah ini diisytiharkan sebagai kawasan bencana.

Pengoperasian penuh LRA Kogopon juga hanya dapat menambah lima MLD daripada keperluan pengguna daerah ini menjadikan 10 MLD lagi kekurangan yang diperlu dipulihkan untuk memastikan semua penduduk kembali menerima bekalan air paip.

Siang tadi, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata operasi pembenihan awan hujan akan dilaksanakan mulai esok hingga 30 Mac menerusi kerjasama Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Operasi itu disasarkan di kawasan tadahan air di bahagian hulu sungai bagi meningkatkan paras air sungai yang menyusut akibat cuaca panas dan kering sejak lebih sebulan lalu. – Info X