Search

MA63: Kuasa pengurusan Buangan Terjadual diserah kepada negeri

August 28, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri, melalui Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah (JPAS) akan mengambil alih kuasa pengurusan Buangan Terjadual daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) mulai Januari 2026.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew, berkata pengambilalihan kuasa itu selaras dengan penurunan kuasa secara autonomi kepada negeri ini.

Katanya, ia berkaitan persetujuan Kerajaan Persekutuan menurunkan kuasa kepada Kerajaan Sabah di bawah pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berhubung alam sekitar.

“Perkara ini telah dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri Sabah pada 21 Ogos 2024 yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Dalam perkara ini, beberapa tindakan telah mula dilaksanakan oleh JPAS seperti membuat pindaan kepada Enakmen Perlindungan Alam Sekitar 2002 dan menggubal perundangan subsidiari berkaitan Buangan Terjadual.

“Selain itu, JPAS juga akan menyediakan pelan pengurusan Buangan Terjadual di Sabah, membangunkan sistem pemantauan Buangan Terjadual dalam talian dan pembangunan kapasiti JPAS dengan sokongan JAS,” katanya.

Beliau berkata, penurunan kuasa secara autonomi berkaitan alam sekitar itu dibuat secara berfasa, bermula dengan pengurusan Buangan Terjadual. – Info X