Search

Madius gesa isu penangguhan AKPS dibawa ke Majlis Rundingan MA63

May 19, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Penangguhan pelaksanaan Akta Kawalan Penguatkuasaan Sempadan (AKPS) disifatkan bukan sekadar isu pentadbiran, sebaliknya mencerminkan kegagalan berterusan Kerajaan Persekutuan mematuhi perlindungan perlembagaan yang menjamin hak serta kedudukan Sabah dan Sarawak.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Madius Tangau, berkata isu itu memperlihatkan pola membimbangkan apabila undang-undang Persekutuan yang memberi kesan kepada Sabah dan Sarawak diluluskan tanpa mendapatkan persetujuan kerajaan negeri seperti diperuntukkan di bawah Perkara 161E Perlembagaan Persekutuan.

Madius berkata, perkara itu bukan isu baharu kerana sejak sekian lama wakil rakyat Sabah di Parlimen sudah berulang kali membangkitkan persoalan mengenai kesahihan perlembagaan terhadap beberapa undang-undang yang didakwa memberi kesan langsung kepada hak dan kedudukan Sabah serta Sarawak.

“Namun, kebimbangan dan bantahan yang dibangkitkan sering kali diketepikan atau tidak diberikan perhatian sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, antara contoh utama yang sering dibangkitkan termasuk peluasan Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perikanan ke Sabah serta Sarawak pada 1970, pindaan Perkara 122A Perlembagaan Persekutuan pada 1994, penggubalan Akta Laut Wilayah 2012 serta pelaksanaan AKPS.

Beliau mendakwa undang-undang berkenaan memberi kesan langsung kepada hak, bidang kuasa dan kedudukan perlembagaan Sabah serta Sarawak, namun dilaksanakan tanpa persetujuan sewajarnya seperti diperuntukkan dalam Perkara 161E.

Madius berkata, keadaan itu bercanggah dengan semangat serta jaminan yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang menjadi asas pembentukan Persekutuan Malaysia.

Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap dakwaan bahawa pandangan pemimpin Sabah, termasuk menteri Persekutuan dari negeri itu, tidak diberi perhatian dalam isu berkaitan AKPS.

Katanya, sebelum ini dimaklumkan bahawa perundangan subsidiari akan diperkenalkan bagi melindungi hak dan kepentingan Sabah serta Sarawak, namun jaminan berkenaan didakwa tidak direalisasikan.

“Dakwaan ini hanya mengukuhkan persepsi rakyat Sabah bahawa komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap perkara membabitkan hak perlembagaan negeri sering dipandang ringan atau tidak ditunaikan,” katanya.

Sehubungan itu, Madius menggesa Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak segera membawa isu berkenaan ke Majlis Rundingan MA63 untuk dibincangkan secara menyeluruh dan segera.

Pada masa sama, beliau mahu rakyat Sabah dan Sarawak dimaklumkan secara terbuka mengenai hasil perbincangan serta langkah konkrit yang akan diambil bagi mengelakkan perkara sama berulang.

Tegasnya, Sabah dan Sarawak bukan wilayah bawahan dalam Persekutuan, sebaliknya rakan pengasas Malaysia yang hak, bidang kuasa dan kedudukan perlembagaannya perlu dihormati sepenuhnya. – Info X