Search

Madius persoal kenapa hanya 43 peratus projek siap

October 7, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau, mempersoalkan bagaimana perbelanjaan pembangunan Sabah boleh mencapai 95.3 peratus sedangkan hanya 43 peratus daripada 941 projek pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di negeri ini siap.

Katanya, keadaan itu menimbulkan persoalan serius mengenai keberkesanan pelaksanaan projek kerajaan serta sejauh mana peruntukan yang dibelanjakan benar-benar diterjemahkan kepada manfaat rakyat.

Jelas beliau, daripada 941 projek pembangunan RMK12 di Sabah, sebanyak 405 projek atau 43 peratus telah siap, manakala 411 projek atau 43.7 peratus masih dalam pelaksanaan dan 125 projek atau 13.3 peratus belum bermula atau masih dalam perancangan.

“Bagaimanakah hampir keseluruhan peruntukan telah dibelanjakan sedangkan lebih separuh projek masih belum siap?” katanya ketika membahaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2 Tahun 2026 pada Persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur pada Rabu.

Madius berkata isu berkenaan tidak boleh dilihat sekadar melalui angka kewangan kerana rakyat berdepan secara langsung dengan kesan kelewatan projek, khususnya berkaitan jalan raya, sekolah, kemudahan kesihatan serta bekalan air dan elektrik.

Beliau berkata, Sijil Ketua Audit Negara Tanpa Teguran tidak seharusnya dianggap sebagai bukti bahawa semua projek kerajaan telah siap dan berfungsi kerana sijil berkenaan hanya mengesahkan kewajaran penyata kewangan.

“Rakyat tidak menggunakan angka 95.3 peratus. Rakyat menggunakan jalan yang siap, sekolah yang selamat, klinik yang berfungsi serta bekalan air dan elektrik yang stabil,” katanya.

Dalam perbahasan itu, Madius turut membangkitkan kewujudan projek-projek lama yang masih belum diselesaikan, termasuk 70 projek daripada RMK9, 358 projek daripada RMK10 dan 1,602 projek daripada RMK11.

Katanya, kerajaan perlu menjelaskan punca kelewatan projek terbabit, sama ada berpunca daripada isu tanah, reka bentuk, perolehan, peruntukan, kontraktor atau kelemahan akauntabiliti.

Beliau menegaskan kerajaan tidak seharusnya terus mengumumkan projek baharu sekiranya projek-projek terdahulu masih belum diselesaikan.

Sehubungan itu, Madius mengemukakan lima tuntutan yang menurutnya perlu dilaksanakan secara jelas dan mempunyai tempoh masa yang boleh diukur.

Antaranya ialah pelaksanaan Sijil Kesiapsiagaan Projek dalam tempoh enam bulan sebelum projek ditender, penubuhan Dashboard Projek Awam dalam tempoh 90 hari serta semakan bebas terhadap projek yang memohon lanjutan masa (EOT) kedua.

Beliau turut menuntut penubuhan Pasukan Penyelesaian Projek Warisan bagi menyelesaikan projek RMK9 hingga RMK11 yang masih tertangguh, selain setiap kementerian pelaksana melantik pemilik akauntabiliti bagi setiap projek.

Madius juga mahu kerajaan membentangkan kepada Parlimen dalam tempoh 90 hari senarai lengkap projek RMK9 hingga RMK12 yang belum siap, termasuk projek yang menerima dua EOT atau lebih, peningkatan kos, status kontraktor, pegawai yang bertanggungjawab serta tarikh muktamad penyelesaian.

Jelas beliau, rakyat perlu diberikan data yang telus dalam tempoh 90 hari, manakala setiap projek bermasalah perlu mempunyai pelan pemulihan dalam tempoh enam bulan dan projek warisan perlu diselesaikan atau diberikan keputusan muktamad dalam tempoh 24 bulan.

Madius berkata ukuran sebenar kejayaan pembangunan bukan jumlah projek yang diumumkan atau jumlah wang yang dibelanjakan, sebaliknya sama ada rakyat menerima kemudahan yang dijanjikan dalam tempoh munasabah, dengan kos yang wajar dan kualiti yang boleh dipercayai.

“Sijil audit yang baik mesti diterjemahkan kepada penyampaian yang baik,” katanya.

Beliau turut menyeru kerajaan menerima lima tuntutan berkenaan, menetapkan tarikh pelaksanaan dan melaporkan kemajuannya kepada Parlimen.

“Rakyat tidak mahu lagi janji tanpa tarikh, projek tanpa penyelesaian atau perbelanjaan tanpa hasil. Rakyat mahu kemudahan yang siap, berfungsi dan boleh digunakan,” katanya. – Info X