SANDAKAN: Bangunan Madrasah Al Fattah di Kampung Sungai Tiram, Batu 19, di sini musnah dalam kebakaran, awal pagi tadi.
Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan selepas 22 pelajar di madrasah berkenaan sempat keluar menyelamatkan diri.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan pada 1.33 pagi sebelum menggerakkan 15 anggota termasuk pegawai dengan tiga jentera bomba ke lokasi kejadian.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, api marak membakar bahagian bangunan berkenaan.

“Pasukan bomba bertindak menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran dua pancutan dari sumber air jentera dan air terbuka.
“Kebakaran dapat dikawal pada jam 3.34 pagi. Bangunan Madrasah jenis kekal terbakar 100 peratus,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan terlibat dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.19 pagi.
“Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X