Search

MAFFI digesa tangani cabaran peladang, penternak dan nelayan Sabah

October 24, 2026

Info X Reporters

TENOM: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) bersama jabatan serta agensi berkaitan digesa supaya memberi tumpuan kepada lima pendekatan utama bagi menangani cabaran yang dihadapi peladang, penternak dan nelayan di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pendekatan itu merangkumi pengukuhan bantuan dan sokongan kepada pengusaha, penambahbaikan infrastruktur serta kemudahan asas pertanian, peluasan penggunaan teknologi moden, pengukuhan akses pasaran dan rantaian bekalan serta peningkatan daya tahan terhadap perubahan iklim dan risiko pengeluaran.

Beliau berkata, pendekatan itu penting berikutan peningkatan kos baja, makanan ternakan, benih, bahan api dan peralatan, selain kekangan infrastruktur, kemudahan penyimpanan sejuk, pengangkutan hasil serta akses pembiayaan yang masih membelenggu sebahagian pengusaha.

“Saya mahu kementerian dan semua agensi berkaitan terus mendekati golongan peladang, penternak dan nelayan di lapangan, mendengar masalah mereka dan mencari penyelesaian yang bersesuaian mengikut keadaan setiap daerah.

“Bantuan yang berkesan ialah bantuan yang menjawab masalah sebenar, sampai kepada golongan sasaran dan menghasilkan perubahan yang boleh diukur,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Sabah Tahun 2026, di sini, pada Sabtu.

Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.

Ketua Menteri berkata Kerajaan Negeri menyasarkan peningkatan kadar sara diri (SSR) padi dan beras daripada 22 peratus kepada 40 peratus menjelang tahun 2030 sebagai langkah memperkukuh keterjaminan makanan serta mengurangkan kebergantungan Sabah terhadap bekalan dari luar.

Beliau berkata, usaha meningkatkan pengeluaran makanan tempatan menjadi keutamaan kerajaan dalam menghadapi cabaran perubahan iklim, ketidaktentuan pasaran global, gangguan rantaian bekalan serta peningkatan kos input dan pengangkutan.

Selain padi dan beras, kerajaan turut memberi tumpuan kepada peningkatan pengeluaran sayur-sayuran, buah-buahan, daging, telur, ikan dan produk makanan lain yang mempunyai permintaan tinggi dalam kalangan rakyat.

“Sebagai sebuah negeri yang mempunyai potensi pertanian yang besar, Sabah perlu terus memperkukuh keupayaan pengeluaran makanan tempatan supaya kita tidak terlalu terdedah kepada perubahan bekalan dan harga dari luar.

“Kita mesti berani melakukan perubahan melalui penggunaan teknologi, pengukuhan infrastruktur, pembangunan modal insan, peluasan akses pasaran dan peningkatan nilai tambah hasil pertanian,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030 terus meletakkan sektor pertanian sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri, bersama-sama sektor perindustrian dan pelancongan.

Katanya, pembangunan sektor pertanian, penternakan dan perikanan perlu beralih daripada kaedah tradisional kepada sistem pengeluaran lebih moden, cekap, produktif dan berorientasikan pasaran bagi meningkatkan pendapatan pengusaha.

Beliau berkata, kerajaan mahu melihat hasil pertanian Sabah bukan sahaja memenuhi keperluan pasaran tempatan, tetapi turut berupaya menembusi pasaran antara negeri dan antarabangsa dengan memenuhi piawaian kualiti serta keselamatan makanan yang ditetapkan.

“Kejayaan sektor agromakanan mesti diukur bukan sahaja melalui jumlah pengeluaran, tetapi juga melalui peningkatan pendapatan pengusaha, kestabilan bekalan makanan dan kesejahteraan keluarga mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji turut menekankan keperluan memperkukuh sektor penternakan dan perikanan melalui pembiakan berkualiti, penambahbaikan kemudahan pendaratan ikan serta pengembangan industri pemprosesan dan pemasaran hasil laut.

Beliau juga mahu lebih ramai golongan belia menceburi industri agromakanan kerana sektor itu mempunyai potensi besar untuk menjana kekayaan baharu, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan ekonomi luar bandar.

Katanya, kerajaan akan terus menggalakkan penggunaan teknologi moden, inovasi dan digitalisasi bagi meningkatkan produktiviti, di samping memastikan petani kecil, penternak tradisional, nelayan pesisir pantai serta komuniti pedalaman tidak tercicir daripada arus pembangunan.

“Pertanian adalah sebuah industri perniagaan yang mampu menjana kekayaan baharu dan membuka peluang pekerjaan yang luas.

“Marilah kita bersama-sama membina sektor pertanian yang lebih moden, sektor penternakan yang lebih produktif dan sektor perikanan yang lebih mampan,” katanya. – Info X