Search

Majlis Belia KDCA : Hentikan buli siber!

May 24, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Majlis Belia Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) menyeru semua pihak supaya menghentikan buli siber terutama ketika musim perayaan Pesta Kaamatan pada ketika ini.

Pengerusinya, Steve Johnny Mositun berkata, kejadian buli siber termasuk membabitkan pertandingan sempena Kaamatan seperti Unduk Ngadau dilihat sering berlaku pada setiap tahun.

Katanya, Pesta Kaamatan seharusnya menjadi penyatu kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini khususnya di Sabah, malangnya, ada saja insiden yang berlaku pada setiap tahun.

“Pesta Kaamatan, perayaan KDMR (Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus) yang terbukti menyatukan bukan sahaja rumpun sendiri, ia bukti semua orang Sabah tidak mengira kaum, agama dan umur boleh menikmati erti perpaduan dalam satu perayaan.

“KDCA merupakan persatuan yang membantu dalam memastikan kebudayaan dan tradisi orang kita dipelihara tetapi Sedihnya setiap tahun akan berlaku insiden yang tidak diingini.

“Baru baru ini seorang peserta Unduk Ngadau membuat laporan polis mengenai tindakan pengguna media sosial Facebook yang membuat kenyataan fitnah untuk memburukkan dan menghina peserta berkenaan.

“Selaku Pengerusi Majlis Belia KDCA dan semua ahli menyokong tindakan yang dilakukan oleh peserta yang membuat laporan polis serta berhasrat untuk memulakan tindakan saman fitnah ( Sogit) melalui mahkamah anak negeri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Steve berkata, semua pengguna media sosial terutamanya belia perlu berfikir dulu sebelum memberi sebarang pendapat di media sosial.

Sehubungan itu, katanya, satu kempen “Stop Cyber Bullying” (hentikan buli siber) perlu digerakkan oleh Majlis Belia KDCA dengan kerjasama agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.

“Saya berpendapat kita harus mengadakan kempen “Stop Cyber Bullying” dan pada masa sama bekerja dengan agensi serta NGO lain dalam memastikan buli siber ini tidak menjadi trend yang berterusan kerana komen atas talian juga boleh memberikan impak yang tidak sihat kepada mangsa.

“Dengan dunia yang semakin maju dan banyak infomasi serta saluran maklumat yang semakin laju, ia juga memberikan tekanan mental kepada mangsa buli siber.

“Hanya mereka yang pernah merasakan akan faham bagaimana ia memberikan impak dalam kehidupan harian,” katanya.

Beliau berkata, Majlis Belia KDCA memandang serius perkara berkenaan, bukan hanya ketika musim Pesta Kaamatan.

“Kami memahami semakin hari semakin ramai orang yang merasakan tekanan psikologi dan impak kepada kehidupan seseorang, buli siber antara faktor yang menyumbang kepada kemurungan.

“Tiada orang yang suka dibuli tidak kira apa cara sekalipun dan ia juga harus disokong oleh semua lapisan masyarakat kerana kesihatan mental penting dalam memastikan masyarakat kita terus maju kehadapan.

“Cukuplah kita saling merendahkan antara sesama kita, kerana ia membantutkan progres untuk maju kehadapan bersama,” katanya. – Info X