KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan menentukan tindakan berhubung situasi kemarau dan bantuan kepada petani yang terjejas selepas mesyuarat Majlis Sumber Air Negeri Sabah yang esok.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata mesyuarat yang dipengerusikannya itu bagi mendapatkan maklum balas dan cadangan berhubung situasi panas dan kering yang melanda Sabah ketika ini.
Beliau berkata, mesyuarat itu penting bagi menilai tahap keseriusan situasi kemarau yang dihadapi negeri ini, khususnya berkaitan sumber air, termasuk untuk sistem pengairan.
“Mesyuarat Majlis Sumber Air Negeri Sabah itu nanti kita dapat tahu sejauh mana kesan kemarau yang melanda negeri ini.
“Selepas itu kita akan buat penilaian dan bincang cadangan untuk membantu petani, khususnya dari segi kewangan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah dan syarikat dari China berhubung projek mitigasi banjir, pengairan dan perparitan.

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah mengakui, sektor penanaman padi antara yang mulai merasai kesan kemarau berikutan penyusutan sumber air sungai yang digunakan untuk pengairan sawah di beberapa daerah.
“Setakat ini, daerah Papar dan Tambunan adalah antara yang terjejas kerana sumber air sungai menyusut bagi mengairi sawah di kawasan itu,” katanya.
Jelasnya, kesan kemarau di Sabah dapat dilihat berdasarkan penyusutan paras air sungai di beberapa daerah yang turun antara 10 peratus hingga 40 peratus ketika ini.
Bagaimanapun katanya, kesan kemarau yang dapat dilihat ketika ini belum mencapai tahap yang sangat serius. – Info X