Search

Malaysia Borneo Football Cup 2024, MMT Jr ke final

September 25, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pasukan MMT Jr (Keningau) layak ke final kejohanan Malaysia Borneo Football Cup 2024 bagi kategori B-12 selepas menundukkan SK Likas 1-0 dalam aksi separuh akhir, hari ini.

Aksi separuh akhir yang sengit itu menyaksikan gol tunggal MMT Jr terhasil menerusi rembatan Brian Cherito Bimbo di babak pertama perlawanan.

MMT Jr juga terpaksa ‘mandi peluh’ sebelum memenangi perlawanan itu apabila diberi saingan sengit oleh SK Likas.

SK Likas mempunyai beberapa peluang baik namun cubaan mereka gagal menerjah jaring, sama ada tersasar mahupun diselamatkan penjaga gol MMT Jr, Alves Fernandez Asroneday.

MMT Jr juga tidak kurang hebatnya apabila menghasilkan beberapa peluang baik namun gagal diterjemahkan kepada gol.

Pada penghujung perlawanan, MMT Jr dilihat lebih banyak menguasai bola dan menghasilkan beberapa peluang baik.

Bagaimanapun kedudukan 1-0 itu kekal sehingga pengadil perlawanan meniupkan wisel penamat.

Terdahulu, MMT Jr mara ke separuh akhir apabila memenangi kesemua tiga aksi dalam peringkat kumpulan iaitu menewaskan Tabs KK 3-0, ATFA (Australia) 4-2 dan Tuubagu FA 2-0.

Barisan pengurus dan jurulatih MMT Jr.

Sementara itu dalam satu lagi aksi separuh akhir, Melawati Junior Tiger FC menang 3-0 ke atas Tuubagu FA, sekali gus bakal berentap dengan MMT Jr di final.

Perlawanan akhir itu akan berlangsung di Stadium UMS pada jam 3 petang esok. – Info X